Showing posts with label CITRA PRIHATIN. Show all posts
Showing posts with label CITRA PRIHATIN. Show all posts

Thursday, December 20, 2018

Buletin : PENUNTUT UKM



 

PENUNTUT Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi selepas program perwakafan buku untuk perpustakaan mini Masjid UKM – bersama Malaysian Sign Langguage (SIGNON)



Penuntut UKM dekati dan berbakti kepada Universiti Kebangsaan Malaysia 


BANGI: Bagi memupuk sikap suka akan ilmu dan mempelajari sesuatu yang baru, sekumpulan penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi di bawah Citra Kesukarelawanan Khidmat Bakti menganjurkan program yang mendekati ilmu dengan aktiviti seperti explorace educational dan kelas asas bahasa isyarat yang julung kalinya diadakan di UKM, Bangi. 

Seramai 24 orang pelajar citra Kesukarelawanan Khidmat Bakti terbabit dalam program di Perpustakaan Mini Masjid UKM, pada 8 Disember 2018. 

Ia adalah suatu pengalaman baharu sebagai penuntut untuk mempelajari sesuatu yang baru iaitu bahasa isyarat yang boleh di aplikasikan dalam kehidupan dan dalam situasi yang memerlukan. 

Ketua Program, Muhammad Khairul Amir Muhammad, berkata program itu adalah sebahagian daripada projek bagi citra Kesukarelawanan Khidmat Bakti. 

Beliau berkata, bagi tujuan itu kumpulannya memilih program mendekati dan berbakti kepada universiti sendiri. 

Beliau juga berkata, bahasa isyarat adalah ilmu yang kurang menarik di mata graduan untuk mempelajarinya pada zaman sekarang, maka dengan adanya program seperti ini akan dapat membuka mata dan hati mereka Bahasa bahasa isyarat juga merupakan kemahiran dan ilmu yang perlu dipelajari. 

“Program turut dibantu pensyarah kami, Prof. Madya Dr. Fazilah binti Idris yang juga merupakan perasmi program tersebut. 

“Kami percaya cara ini mampu memupuk rasa cinta terhadap semua ilmu yang ada di dunia ini ke dalam diri kami, sekali gus membantu mencantikkan dan menjadikan perpustakaan tersebut lebih 
kondusif,” katanya.





















Tuesday, December 18, 2018

Sukarelawan : KERJA SUKARELAWAN ZOO NEGARA


LMCR 1102
KESUKARELAWANAN KHIDMAT BAKTI

REFLEKSI KERJA SUKARELAWAN
ZOO NEGARA



Pada 18 Oktober 2017 yang lalu, kelas A2P1 bersama kelas S3CP4 Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan telah mengadakan aktiviti kesukarelawan di Zoo Negara Malaysia. Tujuan utama aktiviti ini dijalankan adalah untuk memberikan pendedahan dan pengalaman kepada pelajar dalam program kesukarelawan. Selain itu, tujuan kami mengikuti program sukarelawan ini adalah untuk mengeratkan hubungan sesama pelajar senam aerobik di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar. Program yang kami ikuti ini melibatkan seramai 31 orang pelajar  serta Puan Marzuna bt Marzuki dan Puan Amrizah bt Rosdi sebagai guru pengiring. Program sukarelawan ini sudah lama dijalankan oleh pihak Zoo Negara. Antara aktiviti yang dijalankan ialah membersihkan kandang haiwan dan persekitaran zoo, memberikan makanan kepada haiwan serta membantu dalam persembahan haiwan.


Kami bertolak dari KMNS pada pukul 6.45 pagi dan tiba di Zoo Negara kira-kira pada pukul 8.30 pagi. Ketua program memberikan sedikit peringatan dan taklimat di atas bas serta memberikan setiap peserta sepasang sarung tangan dan penutup muka sebagai langkah keselamatan di samping menjaga kebersihan dan kesihatan. Setibanya di sana, kami berkumpul dan dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil. Sebelum bergerak ke tempat kerja masing- masing, kami sekali lagi diberi taklimat dan peringatan oleh wakil daripada pihak Zoo Negara tentang langkah keselamatan dan perkara-perkara yang harus dielakkan sepanjang mengadakan aktiviti ini.

Setelah itu, kami dibahagikan tugas secara rawak dan terus bergerak ke tempat kerja masing-masing bersama wakil daripada zoo. Antara kawasan yang diberikan kepada kami adalah kawasan karnivor, kawasan reptilia dan sebagainya. Terdapat juga satu kumpulan yang ditugaskan untuk hanya memberi makanan kepada haiwan-haiwan di seluruh zoo. Secara asasnya, kami perlu membersihkan sisa buangan haiwan di kandang-kandang mereka dan seterusnya memberi makanan. Seterusnya, arahan yang diberikan oleh wakil daripada zoo dan kerja yang diberikan untuk setiap kumpulan adalah berbeza. Sebagai contoh, ada yang perlu membersihkan kawasan di sekitar zoo, ada yang diberi peluang untuk memberi makanan kepada haiwan lain, malah ada yang ditugaskan untuk membantu ahli zoo membina sangkar baharu seperti untuk kura-kura yang ingin dipindahkan daripada tempat asalnya.

Setelah tamat sesi pagi, kami berehat selama 1 jam dan sambung semula kira-kira pada pukul 2 petang. Namun aktiviti tergendala seketika akibat hujan yang turun. Tidak lama kemudian, kami meneruskan kerja masing-masing dan aktiviti kami akhirnya tamat kira-kira pada pukul 4.30 petang. Setelah itu, kami berkumpul semula dan diberi sedikit ucapan penghargaan daripada wakil zoo. Mereka sememangnya menghargai sesiapa yang sudi untuk meluangkan masa dan menyertai program ini terutamanya daripada golongan pelajar. Walaupun kerja yang mampu kami lakukan adalah terhad, namun mereka masih menghargainya kerana kehadiran kami sedikit sebanyak meringankan beban yang terletak di bahu mereka.

Sebelum bertolak pulang, kami solat asar terlebih dahulu dan diberi peluang untuk membeli sedikit cenderahati daripada zoo tersebut. Kami bertolak pulang kira-kira pukul 5.30 petang dan tiba di KMNS pada pukul 7.55 petang. Sememangnya aktiviti ini telah memberi suatu dimensi baru dalam pengalaman hidup saya. Peluang untuk melihat serta menyentuh haiwan dalam jarak dekat adalah suatu pengalaman yang sukar untuk dilupakan. Selain pengalaman bersama haiwan, peluang untuk berkerja serta berkongsi pengalaman dan cerita bersama pekerja-pekerja di Zoo Negara juga merupakan memori yang tidak harus dilupakan. Setelah beberapa bulan saya menelaah ilmu, mempunyai peluang untuk keluar dan berbakti kepada masyarakat sememangnya suatu yang amat saya perlukan. Saya  berharap agar program-program kesukarelawan seperti ini dapat dijalankan secara lebih kerap lagi pada masa hadapan agar mata saya lebih terbuka dan seterusnya mampu menyumbang sesuatu kepada masyarakat.



Saturday, November 17, 2018

LAWATAN KE SYURGA





REFLEKSI LAWATAN ILMIAH KE SK RAJA MUDA
Pada 15 November 2018 bersamaan dengan hari khamis yang lalu, saya dan rakan-rakan telah membuat satu lawatan ilmiah ke Sekolah Rendah Raja Muda yang terletak di Shah Alam, Selangor. Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar Citra Kesukarelawanan Khidmat Bakti Universiti Kebangsaan Malaysia tentang sistem pengurusan dan pendidikan murid-murid bekeperluan khas di sekolah tersebut. Selain itu, tujuan lawatan ini diadakan juga adalah untuk memberi pengalaman kepada para pelajar melihat sendiri bagaimana ciri-ciri yang ditonjolkan oleh murid bekeperluan khas seperti autisme, disleksia dan sindrom down. 
            Pertama sekali, saya berasa amat bersyukur kerana berpeluang untuk melawat SK Raja Muda, Shah Alam, Selangor. Jutaan terima kasih buat Dr Wardah kerana telah merancang lawatan yang bagi saya sangat berinformasi ini. Sebelum ini, saya belum pernah melawat program yang diintegrasikan dalam sesebuah sekolah jenis kebangsaan. Jadi, ini merupakan pengalaman yang baru bagi saya, dan saya merasakan program ini merupakan satu program yang perlu diperluaskan dan patut diberi perhatian oleh pihak kerajaan.
            Semasa lawatan ini, saya memperoleh banyak peluang. Antara peluang tersebut ialah saya berasa bertuah kerana dapat melihat sendiri cara kanak-kanak yang istimewa di sekolah tersebut belajar dan bermain bersama rakan-rakan. Melihat kanak-kanak syurga ini membuatkan hati saya sangat tersentuh, sebak dan terharu. Pada masa yang sama, dengan melihat mereka membuatkan saya berasa lebih bersyukur dengan nikmat yang Allah telah kurniakan kepada diri saya. Melihat kanak-kanak ini juga bukan hanya memberikan impak yang besar kepada diri saya, malahan membuka mata saya tentang pengorbanan guru-guru yang mengajar kanak-kanak ini. Guru-guru tersebut dilihat sangat mesra, sabar dan sangat komited untuk mengajar kanak-kanak tersebut. Mereka bijak dalam mengendalikan kanak-kanak bekeperluan khas supaya kanak-kanak ini mempunyai minat untuk belajar dan mempunyai kemahiran insaniah.  
            Antara kekuatan yang saya dapat semasa mengikuti lawatan ini ialah, saya dapat mempelajari dengan jelas tentang ciri-ciri khusus yang terdapat pada setiap kanak-kanak bekeperluan khas. Antaranya ialah autisme. Saya teringat akan seorang murid autisme di sekolah itu. Murid autisme itu sangat cerdas dan pintar. Dia boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik dan sangat aktif di dalam kelas. Dia kreatif membina robot dan kapal menggunakan permainan Lego serta dapat membuat pengiraan operasi tambah dan tolak dengan sangat baik. Apabila saya merujuk kepada guru murid tersebut, beliau mengatakan dia mempunyai ‘mild autisme’. Murid tersebut ialah seorang murid yang pintar dan aktif. Namun, dia mempunyai sedikit masalah tingkah laku. Murid itu mudah untuk mengamuk apabila sesuatu yang diinginkan tidak tercapai. Dia juga seorang yang mementingkan kesempurnaan. Dia akan menyusun buku-bukunya dengan teratur dan memastikan mejanya sentiasa bersih dan berada dalam keadaan yang baik.
            Selain itu, kekuatan daripada lawatan ini adalah saya dapat belajar sendiri dengan tenaga pelajar di situ iaitu bagaimana guru di SK Raja Muda mengurus dan mengendalikan kanak-kanak bekeperluan khas ini. Sistem stesen yang digunakan semasa proses pengajaran sangat sistematik dan berkesan untuk memastikan kanak-kanak tersebut seronok dan mempunyai minat untuk belajar. Keadaan kelas yang ceria dan bewarna-warni juga dapat memberi semangat kepada murid untuk belajar.
            Seterusnya adalah kedudukan kelas kanak-kanak bekeperluan khas di SK Raja Muda. Kedudukan kelas bagi kanak-kanak program pendidikan khas terletak di aras bawah blok dan di aras atas blok tersebut merupakan kelas murid-murid tipikal. Saya berpendapat kedudukan blok sekolah ini mempunyai kelebihan dan kelemahan. Antara kelebihan kedudukan blok yang bercampur dengan murid tipikal ialah kanak-kanak istimewa ini dapat meningkatkan kemahiran sosial mereka dengan bercampur dan bergaul dengan murid-murid tipikal. Mereka juga dapat melatih kemahiran insaniah dan kemahiran berkomunikasi.
Kelemahan daripada kedudukan kelas yang bercampur dengan murid tipikal ini adalah kanak-kanak istimewa ini  mungkin akan diejek oleh murid-murid nakal. Perkara ini akan merendahkan keyakinan kanak-kanak bekeperluan khas untuk bergaul dengan murid tipikal. Mereka akan berasa disisihkan dan dibezakan daripada murid yang lain.
Di samping itu, antara kelemahan lain ialah keadaan fizikal sekolah tersebut yang tidak mempunyai padang akan meningkatkan risiko murid-murid istimewa ini untuk tercedera. Mereka hanya bermain dan melakukan aktiviti di hadapan kelas, yang lantainya keras dan berbatu. Pada pendapat saya, pihak sekolah perlulah menyediakan blok yang spesifik kepada murid-murid bekeperluan khas ini supaya aktiviti dan proses pengajaran mereka tidak terhad.
 Akhir sekali, saya berasa amat bertuah kerana dapat menyertai lawatan ilmiah ini. Kanak-kanak bekeperluan khas ini merupakan sebahagian daripada masyarakat. Oleh itu, mereka mempuyai hak dan peluang yang sama dengan murid tipikal untuk mendapatkan pelajaran. Mereka tidak seharusnya disisihkan daripada masyarakat dan keluarga.

Buletin : PENUNTUT UKM

  PENUNTUT Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi selepas program perwakafan buku untuk perpustakaan mini Masjid UKM – ber...