Saturday, November 17, 2018

LAWATAN KE SYURGA





REFLEKSI LAWATAN ILMIAH KE SK RAJA MUDA
Pada 15 November 2018 bersamaan dengan hari khamis yang lalu, saya dan rakan-rakan telah membuat satu lawatan ilmiah ke Sekolah Rendah Raja Muda yang terletak di Shah Alam, Selangor. Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar Citra Kesukarelawanan Khidmat Bakti Universiti Kebangsaan Malaysia tentang sistem pengurusan dan pendidikan murid-murid bekeperluan khas di sekolah tersebut. Selain itu, tujuan lawatan ini diadakan juga adalah untuk memberi pengalaman kepada para pelajar melihat sendiri bagaimana ciri-ciri yang ditonjolkan oleh murid bekeperluan khas seperti autisme, disleksia dan sindrom down. 
            Pertama sekali, saya berasa amat bersyukur kerana berpeluang untuk melawat SK Raja Muda, Shah Alam, Selangor. Jutaan terima kasih buat Dr Wardah kerana telah merancang lawatan yang bagi saya sangat berinformasi ini. Sebelum ini, saya belum pernah melawat program yang diintegrasikan dalam sesebuah sekolah jenis kebangsaan. Jadi, ini merupakan pengalaman yang baru bagi saya, dan saya merasakan program ini merupakan satu program yang perlu diperluaskan dan patut diberi perhatian oleh pihak kerajaan.
            Semasa lawatan ini, saya memperoleh banyak peluang. Antara peluang tersebut ialah saya berasa bertuah kerana dapat melihat sendiri cara kanak-kanak yang istimewa di sekolah tersebut belajar dan bermain bersama rakan-rakan. Melihat kanak-kanak syurga ini membuatkan hati saya sangat tersentuh, sebak dan terharu. Pada masa yang sama, dengan melihat mereka membuatkan saya berasa lebih bersyukur dengan nikmat yang Allah telah kurniakan kepada diri saya. Melihat kanak-kanak ini juga bukan hanya memberikan impak yang besar kepada diri saya, malahan membuka mata saya tentang pengorbanan guru-guru yang mengajar kanak-kanak ini. Guru-guru tersebut dilihat sangat mesra, sabar dan sangat komited untuk mengajar kanak-kanak tersebut. Mereka bijak dalam mengendalikan kanak-kanak bekeperluan khas supaya kanak-kanak ini mempunyai minat untuk belajar dan mempunyai kemahiran insaniah.  
            Antara kekuatan yang saya dapat semasa mengikuti lawatan ini ialah, saya dapat mempelajari dengan jelas tentang ciri-ciri khusus yang terdapat pada setiap kanak-kanak bekeperluan khas. Antaranya ialah autisme. Saya teringat akan seorang murid autisme di sekolah itu. Murid autisme itu sangat cerdas dan pintar. Dia boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik dan sangat aktif di dalam kelas. Dia kreatif membina robot dan kapal menggunakan permainan Lego serta dapat membuat pengiraan operasi tambah dan tolak dengan sangat baik. Apabila saya merujuk kepada guru murid tersebut, beliau mengatakan dia mempunyai ‘mild autisme’. Murid tersebut ialah seorang murid yang pintar dan aktif. Namun, dia mempunyai sedikit masalah tingkah laku. Murid itu mudah untuk mengamuk apabila sesuatu yang diinginkan tidak tercapai. Dia juga seorang yang mementingkan kesempurnaan. Dia akan menyusun buku-bukunya dengan teratur dan memastikan mejanya sentiasa bersih dan berada dalam keadaan yang baik.
            Selain itu, kekuatan daripada lawatan ini adalah saya dapat belajar sendiri dengan tenaga pelajar di situ iaitu bagaimana guru di SK Raja Muda mengurus dan mengendalikan kanak-kanak bekeperluan khas ini. Sistem stesen yang digunakan semasa proses pengajaran sangat sistematik dan berkesan untuk memastikan kanak-kanak tersebut seronok dan mempunyai minat untuk belajar. Keadaan kelas yang ceria dan bewarna-warni juga dapat memberi semangat kepada murid untuk belajar.
            Seterusnya adalah kedudukan kelas kanak-kanak bekeperluan khas di SK Raja Muda. Kedudukan kelas bagi kanak-kanak program pendidikan khas terletak di aras bawah blok dan di aras atas blok tersebut merupakan kelas murid-murid tipikal. Saya berpendapat kedudukan blok sekolah ini mempunyai kelebihan dan kelemahan. Antara kelebihan kedudukan blok yang bercampur dengan murid tipikal ialah kanak-kanak istimewa ini dapat meningkatkan kemahiran sosial mereka dengan bercampur dan bergaul dengan murid-murid tipikal. Mereka juga dapat melatih kemahiran insaniah dan kemahiran berkomunikasi.
Kelemahan daripada kedudukan kelas yang bercampur dengan murid tipikal ini adalah kanak-kanak istimewa ini  mungkin akan diejek oleh murid-murid nakal. Perkara ini akan merendahkan keyakinan kanak-kanak bekeperluan khas untuk bergaul dengan murid tipikal. Mereka akan berasa disisihkan dan dibezakan daripada murid yang lain.
Di samping itu, antara kelemahan lain ialah keadaan fizikal sekolah tersebut yang tidak mempunyai padang akan meningkatkan risiko murid-murid istimewa ini untuk tercedera. Mereka hanya bermain dan melakukan aktiviti di hadapan kelas, yang lantainya keras dan berbatu. Pada pendapat saya, pihak sekolah perlulah menyediakan blok yang spesifik kepada murid-murid bekeperluan khas ini supaya aktiviti dan proses pengajaran mereka tidak terhad.
 Akhir sekali, saya berasa amat bertuah kerana dapat menyertai lawatan ilmiah ini. Kanak-kanak bekeperluan khas ini merupakan sebahagian daripada masyarakat. Oleh itu, mereka mempuyai hak dan peluang yang sama dengan murid tipikal untuk mendapatkan pelajaran. Mereka tidak seharusnya disisihkan daripada masyarakat dan keluarga.

No comments:

Post a Comment

Buletin : PENUNTUT UKM

  PENUNTUT Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi selepas program perwakafan buku untuk perpustakaan mini Masjid UKM – ber...