Thursday, December 20, 2018

Buletin : PENUNTUT UKM



 

PENUNTUT Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi selepas program perwakafan buku untuk perpustakaan mini Masjid UKM – bersama Malaysian Sign Langguage (SIGNON)



Penuntut UKM dekati dan berbakti kepada Universiti Kebangsaan Malaysia 


BANGI: Bagi memupuk sikap suka akan ilmu dan mempelajari sesuatu yang baru, sekumpulan penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi di bawah Citra Kesukarelawanan Khidmat Bakti menganjurkan program yang mendekati ilmu dengan aktiviti seperti explorace educational dan kelas asas bahasa isyarat yang julung kalinya diadakan di UKM, Bangi. 

Seramai 24 orang pelajar citra Kesukarelawanan Khidmat Bakti terbabit dalam program di Perpustakaan Mini Masjid UKM, pada 8 Disember 2018. 

Ia adalah suatu pengalaman baharu sebagai penuntut untuk mempelajari sesuatu yang baru iaitu bahasa isyarat yang boleh di aplikasikan dalam kehidupan dan dalam situasi yang memerlukan. 

Ketua Program, Muhammad Khairul Amir Muhammad, berkata program itu adalah sebahagian daripada projek bagi citra Kesukarelawanan Khidmat Bakti. 

Beliau berkata, bagi tujuan itu kumpulannya memilih program mendekati dan berbakti kepada universiti sendiri. 

Beliau juga berkata, bahasa isyarat adalah ilmu yang kurang menarik di mata graduan untuk mempelajarinya pada zaman sekarang, maka dengan adanya program seperti ini akan dapat membuka mata dan hati mereka Bahasa bahasa isyarat juga merupakan kemahiran dan ilmu yang perlu dipelajari. 

“Program turut dibantu pensyarah kami, Prof. Madya Dr. Fazilah binti Idris yang juga merupakan perasmi program tersebut. 

“Kami percaya cara ini mampu memupuk rasa cinta terhadap semua ilmu yang ada di dunia ini ke dalam diri kami, sekali gus membantu mencantikkan dan menjadikan perpustakaan tersebut lebih 
kondusif,” katanya.





















Tuesday, December 18, 2018

Management : TEORI ERG




TEORI ERG (Theory ECG)
dipelopori oleh Clayton Alderfer, seorang ahli psikologi daripada Amerika Syarikat 
- ringkasan daripada Hierarki Keperluan Maslow yang dikemukakan oleh Abraham Maslow 
- Hierarki Keperluan Maslow merangkumi lima peringkat keperluan iaitu :-

a. Keperluan fisiologi
b. Keperluan keselamatan
c. Keperluan sosial / kasih sayang
d. Keperluan penghargaan
e. Keperluan sempurna diri / pencapaian diri
·         
Teori ERG pula memfokuskan kepada tiga aspek iaitu :-
a.      Keberadaan (Existence)
ü  Merujuk kepada keperluan asas untuk kelangsungan hidup
ü  Disejajarkan dengan keperluan fisiologi dan keselamatan dalam teori Hierarki Keperluan Maslow
ü  Setiap manusia memerlukan bekalan makanan yang sihat dan minuman yang bersih untuk kehidupan seharian. [CONTOH]
ü  Tempat tinggal melindungi kita daripada serangan binatang liar, sinaran matahari dan hujan. [CONTOH]
ü  Keadaan negara yang aman dan damai serta bebas daripada peperangan menjamin keselamatan rakyat jelata. [CONTOH]
ü  Alam sekitar yang lestari dan bebas daripada pencemaran dapat mewujudkan hubungan yang harmonis antara kehidupan manusia dengan kemampanan alam sekitar. [CONTOH]
ü  Tempat kerja yang bersih dan kondusif akan meningkatkan prestasi seseorang pekerja dalam melaksanakan tugasan. [CONTOH]
b.      Hubungan (Relatedness)
ü  Merujuk kepada kebantuhan untuk berkomunikasi / berinteraksi dengan orang lain
ü  Disejajarkan dengan keperluan sosial dan penghargaan dalam teori Hierarki Keperluan Maslow
ü  Seseorang pekerja perlu mewujudkan hubungan yang baik dengan rakan sekerja atau ahli kumpulan supaya dapat mengurangkan perselisihan faham antara satu sama lain. [CONTOH]
ü  Seseorang pekerja akan menjadi lebih bermotivasi untuk berusaha lagi apabila beliau diberi pengiktirafan seperti kenaikan pangkat atau diberikan ganjaran atas pencapaian atau sumbangan beliau. [CONTOH]
ü  Hubungan yang baik antara ahli keluarga, rakan sekerja serta pengurus dapat mengurangkan stress seseorang surbodinat. [CONTOH]
c.       Pertumbuhan (Growth)
ü  Hasrat untuk perkembangan diri
ü  Disejajarkan dengan keperluan pencapaian diri dalam teori Hierarki Keperluan Maslow
ü  Seseorang surbodinat akan menjadi lebih bermotivasi apabila beliau diberi peluang untuk melaksanakan sesuatu tugasan yang lebih mencabar. [CONTOH]
ü  Seseorang surbodinat akan menjadi lebih bermotivasi apabila beliau diberi peluang untuk menyertai program latihan dan pembangunan. [CONTOH]
·         Mekanisme halangan-kemunduran (frustration-regression)
ü  Sekiranya sesuatu tingkat kebutuhan pada peringkat yang lebih tinggi terhalang, hasrat seseorang akan lebih berkecendurungan untuk meningkatkan kepuasan ke tingkat yang lebih rendah. 
ü  Contohnya, seseorang tidak mampu untuk berinteraksi dengan rakan sekerja (hubungan) akan meningkatkan keinginan untuk mendapatkan ruang yang lebih kondusif (keberadaan).
ü  Jadi, halangan atau frustasi tersebut akan menyebabkan kemunduran atau regresi ke suatu kebutuhan yang lebih rendah.


Teori ERG
Hierarki Keperluan Maslow
Keberadaan
Keperluan Fisiologi & Keprluan Keselamatan
Hubungan
Keperluan Sosial & Keperluan Penghargaan
Pertumbuhan
Keperluan Pencapaian Diri

Keperluan
Contoh
Keperluan Fisiologi 
makanan, pakaian, tempat tinggal, oksigen
Keprluan Keselamatan
perlindungan undang-undang, bebas daripada peperangan, bebas daripada pencemaran
Keperluan Sosial 
Hubungan dengan keluarga, kawan-kawan & masyarakat
Keperluan Penghargaan
Pengikrafan, penghormatan
Keperluan Pencapaian Diri
Peluang untuk latihan dan pembangunan,  mencuba sesuatu yang lebih mencabar



Sukarelawan : KERJA SUKARELAWAN ZOO NEGARA


LMCR 1102
KESUKARELAWANAN KHIDMAT BAKTI

REFLEKSI KERJA SUKARELAWAN
ZOO NEGARA



Pada 18 Oktober 2017 yang lalu, kelas A2P1 bersama kelas S3CP4 Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan telah mengadakan aktiviti kesukarelawan di Zoo Negara Malaysia. Tujuan utama aktiviti ini dijalankan adalah untuk memberikan pendedahan dan pengalaman kepada pelajar dalam program kesukarelawan. Selain itu, tujuan kami mengikuti program sukarelawan ini adalah untuk mengeratkan hubungan sesama pelajar senam aerobik di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar. Program yang kami ikuti ini melibatkan seramai 31 orang pelajar  serta Puan Marzuna bt Marzuki dan Puan Amrizah bt Rosdi sebagai guru pengiring. Program sukarelawan ini sudah lama dijalankan oleh pihak Zoo Negara. Antara aktiviti yang dijalankan ialah membersihkan kandang haiwan dan persekitaran zoo, memberikan makanan kepada haiwan serta membantu dalam persembahan haiwan.


Kami bertolak dari KMNS pada pukul 6.45 pagi dan tiba di Zoo Negara kira-kira pada pukul 8.30 pagi. Ketua program memberikan sedikit peringatan dan taklimat di atas bas serta memberikan setiap peserta sepasang sarung tangan dan penutup muka sebagai langkah keselamatan di samping menjaga kebersihan dan kesihatan. Setibanya di sana, kami berkumpul dan dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil. Sebelum bergerak ke tempat kerja masing- masing, kami sekali lagi diberi taklimat dan peringatan oleh wakil daripada pihak Zoo Negara tentang langkah keselamatan dan perkara-perkara yang harus dielakkan sepanjang mengadakan aktiviti ini.

Setelah itu, kami dibahagikan tugas secara rawak dan terus bergerak ke tempat kerja masing-masing bersama wakil daripada zoo. Antara kawasan yang diberikan kepada kami adalah kawasan karnivor, kawasan reptilia dan sebagainya. Terdapat juga satu kumpulan yang ditugaskan untuk hanya memberi makanan kepada haiwan-haiwan di seluruh zoo. Secara asasnya, kami perlu membersihkan sisa buangan haiwan di kandang-kandang mereka dan seterusnya memberi makanan. Seterusnya, arahan yang diberikan oleh wakil daripada zoo dan kerja yang diberikan untuk setiap kumpulan adalah berbeza. Sebagai contoh, ada yang perlu membersihkan kawasan di sekitar zoo, ada yang diberi peluang untuk memberi makanan kepada haiwan lain, malah ada yang ditugaskan untuk membantu ahli zoo membina sangkar baharu seperti untuk kura-kura yang ingin dipindahkan daripada tempat asalnya.

Setelah tamat sesi pagi, kami berehat selama 1 jam dan sambung semula kira-kira pada pukul 2 petang. Namun aktiviti tergendala seketika akibat hujan yang turun. Tidak lama kemudian, kami meneruskan kerja masing-masing dan aktiviti kami akhirnya tamat kira-kira pada pukul 4.30 petang. Setelah itu, kami berkumpul semula dan diberi sedikit ucapan penghargaan daripada wakil zoo. Mereka sememangnya menghargai sesiapa yang sudi untuk meluangkan masa dan menyertai program ini terutamanya daripada golongan pelajar. Walaupun kerja yang mampu kami lakukan adalah terhad, namun mereka masih menghargainya kerana kehadiran kami sedikit sebanyak meringankan beban yang terletak di bahu mereka.

Sebelum bertolak pulang, kami solat asar terlebih dahulu dan diberi peluang untuk membeli sedikit cenderahati daripada zoo tersebut. Kami bertolak pulang kira-kira pukul 5.30 petang dan tiba di KMNS pada pukul 7.55 petang. Sememangnya aktiviti ini telah memberi suatu dimensi baru dalam pengalaman hidup saya. Peluang untuk melihat serta menyentuh haiwan dalam jarak dekat adalah suatu pengalaman yang sukar untuk dilupakan. Selain pengalaman bersama haiwan, peluang untuk berkerja serta berkongsi pengalaman dan cerita bersama pekerja-pekerja di Zoo Negara juga merupakan memori yang tidak harus dilupakan. Setelah beberapa bulan saya menelaah ilmu, mempunyai peluang untuk keluar dan berbakti kepada masyarakat sememangnya suatu yang amat saya perlukan. Saya  berharap agar program-program kesukarelawan seperti ini dapat dijalankan secara lebih kerap lagi pada masa hadapan agar mata saya lebih terbuka dan seterusnya mampu menyumbang sesuatu kepada masyarakat.



Monday, December 17, 2018

Time to share: ETIKET DAN PROTOKOL PT. 1

بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum wbt. Didoakan agar para pembaca sentiasa sihat dan dilimpahi rahmat oleh Allah S.W.T InshaaAllah. Entry kali ini saya ingin kongsikan antara tugasan saya untuk citra kolej iaitu Etiket dan Protokol.


Pilih Dua daripada aktiviti dibawah serta buatkan pendahuluan program serta nyatakan kelebihan, kekurangan dan penambahbaikan aktiviti tersebut.


1.PERBARISAN HARI MALAYSIA
2. DEBAT PIALA NC
3. PIDATO PIALA TNC HEPA
4. PERTANDINGAN PANTUN UKM
5. PESTA KONVOKESYEN UKM
6. FESTIVAL TEATER UKM
7. FESTIVAL KESENIAN ISLAM UKM
8. SUKEM 2018


Dan aktiviti pertama yang saya pilih ialah Debat Piala Naib Canselor. Dan inilah laporannya:




PENDAHULUAN PROGRAM

Debat Piala Naib Canselor 2018 atau nama singkatannya ialah Debat NC 2018 merupakan acara tahunan anjuran Upacara Pengucapan Umum (UPU). Pada tahun ini, pusingan saringan dan pusingan kalah mati berlangsung di FSSK bermula jam 8:00 AM – 5:00 PM pada 20 November 2018 sehingga 21 November 2018 dan final berlangsung di Persada Canselori pada malam 21 November 2018. Debat NC ini hanya disertai oleh pelajar tahun satu UKM sahaja dan setiap 11 kolej wajib menghantar wakil termasuk cawangan di Cheras dan KL. Setiap kolej telah menghantar 2 kumpulan kecuali KPZ yang menghantar 3 kumpulan dan KKM yang menghantar 1 kumpulan. Satu kumpulan terdiri daripada empat orang menteri, tiga menteri bersidang dan satu menteri tidak bersidang. Juara liga pada tahun ini di menangi oleh Team A KAB yang menjuarai semua persidangan dan pendebat terbaik 2018 dimenangi oleh wakil daripada KKM. Di pentas final telah berlaku persidangan di antara Team A KTSN sebagai perwakilan kerajaan dan Team A KAB sebagai perwakilan pembangkang. Usul yang diperdebatkan di pentas final ialah 100 Universiti Terbaik : Universiti Awam Perlu Diberikan Status Autonomi. Secara rasminya usul pada malam itu ditolak dan ini menandakan bahawa juara Debat NC 2018 disandang oleh Team A KAB. Pendebat terbaik untuk sidang tersebut juga dijuarai oleh wakil daripada Team A KAB.



KELEBIHAN PROGRAM

Kelebihan utama program ini ialah melahirkan pendebat yang hebat dan juga pelajar UKM yang berani bercakap dihadapan khalayak ramai dengan fasih serta melontarkan fakta-fakta yang benar. Membantu pelajar berfikir secara dua aspek iaitu aspek yang baim dan aspek yang tidak baik bagi sesuatu keadaan atau isu yang timbul. Selain itu dapat menyediakan pelajar untu temu duga yang akan mereka hadapi suatu hari nanti kerana program debat ini mengajar mereka untuk berfikir dengan pantas dan memberikan keyakinan kepada mereka ketika bercakap dan berkomunikasi.






KELEMAHAN PROGRAM

Kelemahan atau kekurangan program semasa persidangan di FSSK yang pertama ialah dari segi penyediaan makanan, tiada makanan yang disediakan untuk MEP pengiring setiap kolej dan ahli kumpulan penyelidik. Kedua, dari segi pengiring bilik sidang, berlaku kekeliruan untuk ke tempat sidang kerana pengiring tidak mengetahui tempat yang sepatutnya dituju dan ini menyebabkan masa kuarantin terbazir. Ketiga, tiada meja persidangan yang sesuai di bilik sidang 1 hingga sidang 4, hanya kerusi kuliah yang disediakan dan ini menyukarkan menteri-menteri semasa persidangan berlangsung. Keempat, tempat persidangan yang tidak strategik, terdedah kepada umum dan menyebabkan gangguan kepada peserta terutama di sidang kawasan pusanika iaitu sidang 9 dan sidang 11. Yang terakhir ialah juri, juri tidak menjalankan tugas dengan amanah dan adil dan memberikan alasan dan mengulas dengan tidak professional dan mengikut emosi. Kelemahan program semasa final yang pertama ialah, tidak menyediakan bilik kuarantin menyebabkan peserta terpaksa duduk di atas lantai dan kawasan yang gelap untuk membuat persediaan. Yang kedua, tentatif yang tidak tepat dan tidak terurus. Yang terakhir ialah ruangan yang sempit untuk penonton yang menyebabkan tidak semua pelajar kolej dapat menyertai program tersebut akibat kekangan tempat duduk.



PENAMBAHBAIKAN

Yang pertama adalah menyediakan makanan untuk MEP pengiring dan kumpulan penyelidik. Kedua, memastikan semua pengiring sedia maklum dengan tempat persidangan dan tahu arah ke bilik sidang supaya memudahkan peserta dan tidak membuang masa. Ketiga, menyediakan tempat sidang yang lebih tertutup dan tiada gangguan kerana ini akan menjadi faktor yang besar kepada peserta seperti kehilangan fokus. Keempat, menyedikan peralatan yang sesuai untuk setiap bilik sidang. Kelima, menyediakan bilik kuarantin yang sepatutnya bagi memudahkan peserta akhir Debat NC 2018. Keenam, mengikut tentatif yang telah disediakan dan yang terakhir adalah mengadakan final di DECTAR kerana ia akan memuatkan ribuan pelajar UKM untuk hadir dan memberikan sokongan kepada peserta.

Okay itu sahaja untuk entry kali ini, untuk laporan seterusnya kita jumpa di entry seterusnya. Assalammualaikum

ONCE IN YOUR LIFE  TRY SOMETHING  WORK HARD AT SOMETHING  TRY TO CHANGE  NOTHING BAD CAN HAPPEN - JACK MA

Thursday, December 13, 2018

Management: KPJ HEALTHCARE BERHAD REPORT


1.0 PENGENALAN



KPJ Healthcare Berhad (KPJ) adalah bahagian prisihatin Johor Corporation (JCorp), dan juga merupakan peneraju dalam industri perkhidmatan kesihatan yang mencabar di Malaysia.
Sejak penubuhan hospital pertamanya dalam tahun 1981, KPJ telah berkembang maju dan kini memiliki 42 buah anak syarikat dan syarikatsyarikat bersekutu yang berteraskan perubatan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan pakar. Ini menjadikan KPJ sebuah perusahaan penjagaan kesihatan yang terbesar di Malaysia. Portfolio perniagaannya termasuk pengurusan hospital, perkhidmatan teknikal penjagaan kesihatan, pembangunan hospital dan pentauliahan, pendidikan kejururawatan, sains kesihatan dan pembelajaran profesional pendidikan kesihatan yang berterusan, perkhidmatan patologi dan pemerolehan.
 KPJ Healthcare Berhad adalah kumpulan penjagaan kesihatan tempatan pertama di Malaysia yang telah disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada 29 November 1994. Dengan jumlah aset melebihi RM1.1 billion dan dana pemegang saham melebihi RM443 juta, KPJ kini menjadi peneraju kumpulan penyedia perkhidmatan penjagaan swasta terbesar negara yang tersenarai dengan modal berbayar RM 204 juta.


Berdiri teguh di belakang wawasan korporatnya, untuk menjadi “pilihan utama pengguna dalam perkhidmatan prisihatin” KPJ sejak dari penubuhannya, sentiasa mencari peluang baru bagi menjamin prestasi terbaik Kumpulan. Sebahagian besar pencapaian Kumpulan adalah hasil dari falsafah kukuh korporatnya yang sentiasa mengilhamkan kecemerlangan, menggalakkan inisiatif diri dan kerja berpasukan, melaksanakan sinergi strategik dan menyemai ketelusan yang tinggi dan semangat keusahawanan untuk menjadi barisan hadapan dalam penyediaan penjagaan kesihatan dan pembangunan negara dan antarabangsa.
Kesemua ini diperkukuhkan lagi melalui misi korporatnya, iaitu “Menyediakan Perkhidmatan Prisihatin Berkualiti Kepada Pelanggan”, sejajar dengan 5 teras nilai-nilai asas iaitu, Keselamatan, Budi Pekerti, Ketelusan, Profesionalisme dan Peningkatan Berterusan.
Komitmen KPJ adalah untuk menyediakan kepada pesakit penjagaan berkualiti dengan khidmat yang tidak ada bandingan oleh sebuah pasukan yang profesional dan anggota pekerja sokongan menggunakan teknologi tercanggih. KPJ yang diterajui oleh pakar profesional klinikal dan pengurus-pengurus penjagaan kesihatan berpengalaman, telah memberi KPJ sebuah tapak yang kukuh di dalam industri penjagaan kesihatan.
Rangkaian KPJ yang meluas meliputi 23 hospital pakar swasta termasuk 17 di Malaysia, 3 di Indonesia, 1 di Bangladesh dan 2 di Arab Saudi. KPJ, dengan asasnya yang kukuh dan dedikasi yang kuat serta komitmen yang tinggi, bersedia untuk menyahut cabaran pasaran global.


2.0 PERANCANGAN

2.1 Definisi Perancangan
Perancangan adalah proses menentukan matlamat dan memutuskan tindakan yang paling sesuai diambil untuk mencapai matlamat tersebut. Menurut James A.F Stoner dan Charles Wankel (1986) dalam buku mereka yang bertajuk “Management”, perancangan adalah satu garis panduan yang dirangka oleh pihak atasan sesebuah organisasi bagi mencapai maksud asal penubuhannya. Perancangan merupakan satu proses yang melibatkan pentakrifan objektif dan matlamat organisasi, mewujudkan strategi keseluruhan untuk mencapai matlamat-matlamat ini dan membangunkan rancangan yang menyeluruh untuk menyelaras dan mengintegrasikan semua aktiviti dalam organisasi (Robbins & Coulter, 1999).
Perancangan adalah amat penting bagi sesebuah organisasi. Perancangan membolehkan seseorang pengurus menyediakan hala tuju syarikat dan mengukur prestasi organisasi. Dengan adanya perancangan organisasi, pengurus boleh membuat keputusan dan menyelaras dan memperuntukkan sumber-sumber pengeluaran. Kawalan awalan, semasa dan selepas boleh dilakukan dari semasa ke semasa mengikut panduan. Dalam perancangan yang strategik, terdapat beberapa unsur yang hendak dititikberatkan, antaranya termasuklah visi,, misi , objektif dan lain-lain.
  Visi KPJ Healthcare Berhad adalah “The Preferred Provider Of Healthcare Services”, misinya adalah “Deliver Quality Healthcare Services To Our Customers” manakala objektifnya adalah “to maintain or enhance the overall quality of life, dignity and well-being of every individual needing healthcare service and to create a more equitable, accessible, effective and efficient healthcare system”. KPJ Healthare Berhad dapat berkembang maju atas perancangan dan matlamat syarikat yang jelas dan terperinci ini. Setiap peringkat pengurusan KPJ Healthcare Berhad memegang kepada lima nilai-nilai asas iaitu keselamatan (safety), kesopanan (courtesy), ketelusan (integrity), profesionalisme (professionalism) dan peningkatan berterusan (continuous improvement). Nilai-nilai tersebut ditentukan bertujuan untuk memastikan hasil dan perkhidmatan yang ditawarkan tersebut adalah sesuatu yang terbaik dan seragam.

2.2 Kekuatan Perancangan KPJ Healthcare Berhad

Pekerja di KPJ Healthcare Berhad dapat mengetahui matlamat dan arah tuju organisasi merupakan kekuatan organisasi ini. Hal ini sedemikian kerana pekerja pada setiap peringkat pengurusan dapat mengetahui laporan tahunan organisasi di laman web. Laporan tahunan yang terdapat di laman sesawang bukan sahaja dapat membantu pekerja lebih memahami perkembangan organisasi, malah pekerja dapat melaksanakan cadangan atau tindakan pembaikan yang disalurkan dalam laporan tahunan KPJ Healthcare Berhad.
Selain itu, kekuatannya termasuklah pihak pengurusan KPJ Healthcare Berhad mudah untuk melakukan perancangan jangka panjang. KPJ Healthcare Berhad merupakan organisasi yang berasaskan bidang perubatan. Oleh itu, perkembangan utama organisasi ini adalah memastikan kepakaran, ilmu perubatan, teknologi perubatan digital dan aplikasi-aplikasi yang digunakan dalam hasil dan perkhidmatan mengikut perkembangan dunia dari semasa ke semasa. Organisasi ini juga melaburkan “Retirement and age-care resort” di Australia dan in Sibu, Sarawak, “Senior Living Care” (SLC) centre di Tawakkal serta  “Health Centre” (THC) di Kuala Lumpur. Untuk perkembangan jangka masa panjang, KPJ Healthcare Berhad boleh memperbanyakkan pelaburan di bidang-bidang lain.


2.3 Kelemahan Perancangan KPJ Healthcare Berhad

KPJ Healthcare Berhad mempunyai beberapa kelemahan daripada pelbagai aspek. Salah satu kelemahannya adalah KPJ Healthcare Berhad tidak dapat memotivasikan pekerjanya kerana perancangan organisasi tidak dikaitkan dengan ganjaran pekerja. Organisasi ini amat menitikberatkan kepakaran dalam bidang perubatan dan pelaburan dalam bidang-bidang lain terutamanya bidang perkhidmatan, namun begitu kebajikan pekerja telah diabaikan oleh pihak pengurusan. Gaji pekerja ditentukan dan diberikan mengikut kepakaran dan pengalaman. Hal ini sedemikian mungkin akan menyebabkan pekerja-pekerja berasa tidak adil dan tidak ingin bekerjasama dengan rakan sekerja. Ganjaran pula tidak diberikan kepada mereka yang menunjukkan usaha lebih semasa berkhidmat. Sesetengah pekerja berasa tidak puas hati apabila mereka tidak ditawarkan ganjaran padahal usaha yang dilakukan adalah sama banyak.

            Di samping itu, pihak pengurusan KPJ Healthcare Berhad akan mengalami risiko yang tinggi dalam proses perancangan jangka panjang. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, organisasi ini banyak melabur di bidang-bidang lain dan membuka cawangan hospital di ssetiap negeri dan luar negara. Apabila organisasi ini ingin menjalankan perancangan jangka panjang, lebih banyak modal diperlukan untuk menampung kos pengeluaran. KPJ Healthcare Berhad juga perlu bersaing sengit dengan organisasi berasaskan perubatan dan perkhidmatan seperti Pantai Hospital untuk mendapatkan pakar-pakar dan teknologi terkini








3.0 PENGORGANISASIAN
3.1 Definisi Pengorganisasian
        Pengorganisasian secara umum boleh dianggap sebagai proses membuat keputusan mengenai cara yang terbaik untuk mengumpulkan, mengagihkan dan menyelaraskan aktiviti-aktivit sumber organisasi agar matlamatnya dapat dicapai. Melalui fungsi ini, pengurus akan menentukan tugas mana yang perlu disiapakan, bagaimana tugas-tugas tersebut boleh digabungkan secara terbaik ke dalam pekerjaan yang sepsifik, dan bagaimanan pekerjaan boleh dikumpulkan ke dalam unit-unit yang berbeza bagi membentuk struktur organisasi. Di samping itu, pengurus juga bertindak mengisi sesuatu pekerjaan dengan individu yang boleh melaksanakan pelan dengan jayanya.

3.2 Faedah Faedah Pengorganisasian  
         Fungsi pengorganisasian amat penting kepada system pengurusan kerana ia merupakan mekanisma utama yang digunakan oleh pengurus untuk mengoperasi pelan. Pengorganisasian membentuk dan mengekalkan perhubungan antara semua sumber organisasi dengan menunjukkan sumber mana yang akan digunakan untuk aktiviti yang telah ditetapkan, bila, di mana, dan bagaimana sumber-sumber tersebut akan digunakan. Fungsi pengorganisasian yang dijalankan dengan sempurna akan dapat membantu pengurus meningkatkan produktiviti organisasi serta meminimakan duplikasi usaha dan pembaziran sumber organisasi. Secara spesifik, pengorganisasian yang berkesan dapat menyediakan faedah-faedah seperti berikut:

1.      Memberi penjelasan mengenai jangkaan prestasi dan tugas-tugas khusus.
2.      Mewujudkan pembahagian kerja yang dapat mengelakkan duplikasi, konflik, dan penyalhgunaan sumber-sumber bahan dan manusia.
3.      Membentuk aliran aktiviti kerja secara logical yang boleh dilakukan dengan selesa oleh individu atau kumpulan.
4.      Menetapkan saluran komunikasi yang dapat memudahkan proses membuat keputusan dan kawalan.
5.      Mewujudkan mekanisma penyelarasan yang dapat menjamin keharmonian di kalangan ahli organisasi yang terlibat dalam pelbagai aktiviti yang berbeza.
6.      Membantu memberi focus keoada usaha yang berkaitan dengan objektif secara logical dan cekap.

3.3 Geografi
         Penjabatan mengelolakan kerja dan pekerja di dalam unit berasingan oleh lokasi geografi atau daerah. Struktur organisasi setiap cawangan atau subsidiari akan memberi gerak balas ke atas pasaran yang berbeza dengan membawa sumber dekat dengan pelanggan.

Rajah 1: Struktur Organisasi KPJ Healthcare Berhad
(Struktur Divisional Geografik)

3.3.1 Kebaikan
      Setiap pengurus cawangan KPJ  mempunyai pengetahuan yang luas tentang kehendak dan gelagat pengguna bagi kawasan masing – masing.
      Memudahkan pengurus di lokasi tertentu untuk membuat keputusan dengan lebih cepat dan berkesan.

3.3.2 Kelemahan
      Pengurus merasa kurang kuasa untuk mengawal pekerja cawangan.
      Kos yang tinggi akibat faktor demografi yang berbeza mengikut kawasan.
      Kemahiran tidak dikongsi antara cawangan.


4.0 PENGAWALAN
5.1 Definisi Pengawalan
           Pengawalan ialah proses mengukur kemajuan pelaksanaan atau pencapaian sesuatu
perancangan dan mengambil tindakan pembetulan jika sesuatu pelaksanaan tersebut telah
menyimpang daripada rancangan asal atau standard. Menurut Sabri Hj. Hussin (2005),
penagwalan melibatkan proses untuk menetapkan paiwaian, memantau aktiviti yang sedang
dilaksanakan serta membandingkan pencapaian sebenar dengan prestasi yang ditetapkan.
Pengawalan merupakan satu proses yang berterusan dan melibatkan seluruh warga dalam
organisasi. Pengawalan organisasi merupakan proses memantau atau mengawal selia segala
aktiviti organisasi dengan sistematik dan konsisten untuk memastikan matlamat organisasi
tercapai (Daft, R.L 2018). Pengawalan secara segera dan menyeluruh dapat membantu pengurus
untuk mengesan kesilapan-kesilapan dalam organisasi seperti rungutan pelanggan, kerosakan
produk dan sebagainya. Sekiranya didapati bahawa sesuatu pelaksanaan atau pencapaian sesuatu
rancangan telah menyimpang daripada rancangan asal atau standard, tindakan pembetulan perlu
diambil segera. Pelan pembetulan tersebut dapat membaiki kesilapan yang telah berlaku serta
dapat mengurangkan kesilapan-kesilapan yang bakal berlaku. Hal ini secara tidak langsung akan
meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi (Daft, R.L 2018).

5.1 Kekuatan Pengawalan KPJ Healthcare Berhad
           KPJ Healthcare Bhd telah menggunakan kedua-dua jenis kawalan dalam organisasi
mereka agar matlamat organisasi akan tercapai. Antara kedua-dua jenis kawalan yang digunakan
ialah kawalan dalaman dan kawalan luaran. Kawalan dalaman merujuk kepada pemantauan
daripada pihak pengurusan atasan terhadap pelaksanaan aktiviti organisasi. Manakala, kawalan
luaran ialah penyeliaan daripada pihak-pihak yang tidak mempunyai hubungan secara langsung
dengan organisasi seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Suruhanjaya Syarikat Malaysia
(SSM) dan sebagainya.

        

       Antara kawalan dalaman yang telah digunakan oleh KPJ Healthcare Bhd ialah audit
dalaman dan prosedur kerja. Audit dalaman merupakan kerja-kerja pengauditan yang dilakukan
oleh juruaudit dalam organisasi untuk kegunaan organisasi sendiri. Audit dalaman membolehkan
pihak pengurusan organisasi untuk menilai pengendalian akauan dalaman serta inventori yang
sedia ada. Audit dalaman juga dapat menentukan kebolehpercayaan amalan perakaunan serta
menilai mutu dan prestasi pengurusan. Bahagian Kewangan KPJ Healthcare Berhad telah
menyediakan laporan audit dalaman untuk menilai prestasi dan pencapaian organisasi dalam
tempoh yang tertentu. Laporan audit dalaman yang disediakan tersebut akan diserahkan kepada
akauntan yang bertauliah untuk tujuan pengesahan audit luaran.

           Selain itu, KPJ Healthcare Berhad juga memperkenalkan prosedur kerja yang teratur dan
jelas untuk seluruh warga organisasinya. Dasar organisasi merupakan tatacara atau garis panduan
yang digunakan oleh sesebuah organisasi untuk melakukan aktiviti-aktiviti organisasi dengan
lebih efektif dan berkesan. Setiap subordinat dalam organisasi perlu mematuhi prosedur kerja
supaya setiap kerja dapat dilaksanakan dengan mengikuti proses kerja yang seragam. Prosedur
kerja juga menjadi rujukan kepada subordinat semasa melaksanakan tugasan atau membuat
keputusan. KPJ Healthcare Berhad telah memperkenalkan Kod Etika Kerja KPJ untuk seluruh
warga organisasi untuk mengelakkan berlakunya sebarang dilema kerja. Kod Etika Kerja KPJ
meliputi panduan-panduan seperti Kod Etika Pemakaian, Panduan untuk mengurus konflik
antara staf dengan pesakit, gangguan seksual, Larangan untuk menerima rasuah dan sebagainya.
Dengan adanya prosedur kerja yang kukuh, maka seluruh warga KPJ Healthcare Berhad dapat
meningkatkan lagi integriti dan ketelusan dalam melaksanakan tugasan masing-masing.

          Kawalan luaran yang telah digunakan oleh KPJ Healthcare Bhd meliputi audit luaran dan
undang-undang. Audit luaran ialah kerja-kerja pengauditan yang dilakukan oleh juruaudit
professional atau akauntan bertauliah yang tidak mempunyai sebarang hubungan langsung
dengan organisasi. Audit luaran bertujuan untuk memastikan organisasi mematuhi tatacara
pengawalan luaran organisasi serta meningkatkan lagi kebolehpercayaan perakaunan organisasi.
Laporan audit dalaman yang disediakan oleh juruaudit dalaman KPJ Healthcare Berhad akan
disemak dan dinilai oleh juruaudit luaran ataupun akauntan bertauliah bagi memastikan
prosedur-prosedur pengauditan BY-LAWS (on Professional Ethics, Conduct and Practice) yang
ditetapkan oleh Jabatan Akauntan Negara ditepati dan dipatuhi. Akauntan bertauliah menyemak
dan menilai pengauditan yang dilakukan oleh juruaudit dalaman bagi memastikan
kebolehpercayaan kerja-kerja pengauditan. Audit luaran juga memberi gambaran yang jelas
kepada pihak ketiga seperti pelabur dan pembiaya tentang prestasi organisasi. Laporan audit
dalaman yang telah disahkan akan diterbitkan dalam bntuk Laporan Tahunan untuk kegunaan
pihak ketiga.

         Di samping itu, KPJ Healthcare Berhad juga mematuhi dan bertegang teguh kepada
undang-undang yang sedia ada. Undang-undang merujuk kepada peraturan-peraturan yang telah
digubal oleh badan perundangan sesebuah negara yang termaktub dalam perlembangan sesebuah
negara atau sesebuah akta. KPJ Heathcare Berhad telah menjadikan Akta Kemudahan dan
Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang telah diperkenankan oleh Kementerian
Kesihatan Malaysia sebagai sumber rujukan untuk melaksanakan pengurusan harian di hostipal
dan pusat kesihatan. KPJ Heathcare Berhad juga mengimplementasikan Akta Perlindungan Data
Peribadi 2010 supaya segala maklumat tentang pesakit adalah terlindung dan sulit serta akan
disebarkan keluar tanpa persetujuan pesakit.


5.2 Kelemahan Pengawalan KPJ Healthcare Berhad
          Secara umumnya, KPJ Healthcare Bhd juga mempunyai beberapa kelemahan dari segi
pengawalan walaupun pendekatan pengwalan yang sistematik dan kukuh telah direalisasikan.
Antaranya ialah Perundangan dan kod etika yang sedia ada tidak berupaya untuk menyelesaikan
pertenglikahan antara organisasi dengan keluarga pesakit walaupun akta-akta tersebut dipatuhi
sepenuhnya. Hal ini demikian kerana masih wujud bahagian yang tidak dinyatakan secara jelas
dalam undang-undang atau kod etika yang sedia. Penyelesaian atau intervensi yang dikemukakan
oleh KPJ Healthcare Bhd untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau pertenglikahan mungkin
dianggap tidak adil terhadap salah satu pihak kerana tidak ada panduan yang jelas.

            Selain itu, KPJ Helathcare Bhd juga tidak mempunyai panduan yang lengkap tentang
pelaksanaan Tanggungjawab Sosial Korporat. Tanggungjawab Sosial Korporat merupakan satu
kewajipan atau tanggungjawab pihak pengurusan organisasi dalam membuat keputusan serta
mengambil tindakan yang sepatutnya demi menjaga kebajikan dan kepentingan masyarakat serta
organisasi. KPJ Healthcare Bhd merupakan satu organisasi yang menyediakan perkhidmatan
penjagaan kesihatan. Sehubungan dengan itu, KPJ Healthcare Bhd tidak mempunyai kepakaran
dalam menganani isu-isu sosial. Jadi, KPJ Healthcare Bhd mungkin akan menghadapi kritikan
daripada masyarakat sekiranya Tanggungjawab Sosial Korporat tidak direalisasikan dengan baik
dan sudah pastilah reputasi dan nama baik organisasi akan tercemar dan terjejas.


5.0 KONKLUSI

KPJ Healthcare Berhad telah menjadi salah satu perkhidmatan kesihatan yang terkemuka di
Malaysia kerana pengorganisasian syarikatnya serta sifat kepimpinan yang dimiliki oleh
pengurusnya.
Faktor utama kejayaan serta pencapaian KPJ Healthcare Berhad sepanjang ia beroperasi adalah
kerana pengurusnya yang berdedikasi serta mampu mentadbir organisasi dengan baik.
Pengetahuan yang luas serta dapat memahami gelagat pengguna yang dimiliki oleh pengurus
dapat menjamin kelangsungan perkhidmatan KPJ Healthcare Berhad di Malaysia.
Kecekapan dalam membuat pengurusan pengawalan juga dapat menjadikan KPJ Healthcare
Berhad sebagai salah satu pusat kesihatan yang berjaya dan mampu mencapai keuntungan serta
prestasi yang disasarkan oleh syarikat.
KPJ Healthcare Berhad telah menjadi antara salah sebuah pusat kesihatan yang terpenting dalam
kalangan masyarakat Malaysia kerana perkhidmatan dan langganan yang diberikan sangat
berbaloi dan memberi kepuasan kepada pelanggan.



Buletin : PENUNTUT UKM

  PENUNTUT Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi selepas program perwakafan buku untuk perpustakaan mini Masjid UKM – ber...