Tuesday, December 18, 2018

Sukarelawan : KERJA SUKARELAWAN ZOO NEGARA


LMCR 1102
KESUKARELAWANAN KHIDMAT BAKTI

REFLEKSI KERJA SUKARELAWAN
ZOO NEGARA



Pada 18 Oktober 2017 yang lalu, kelas A2P1 bersama kelas S3CP4 Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan telah mengadakan aktiviti kesukarelawan di Zoo Negara Malaysia. Tujuan utama aktiviti ini dijalankan adalah untuk memberikan pendedahan dan pengalaman kepada pelajar dalam program kesukarelawan. Selain itu, tujuan kami mengikuti program sukarelawan ini adalah untuk mengeratkan hubungan sesama pelajar senam aerobik di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar. Program yang kami ikuti ini melibatkan seramai 31 orang pelajar  serta Puan Marzuna bt Marzuki dan Puan Amrizah bt Rosdi sebagai guru pengiring. Program sukarelawan ini sudah lama dijalankan oleh pihak Zoo Negara. Antara aktiviti yang dijalankan ialah membersihkan kandang haiwan dan persekitaran zoo, memberikan makanan kepada haiwan serta membantu dalam persembahan haiwan.


Kami bertolak dari KMNS pada pukul 6.45 pagi dan tiba di Zoo Negara kira-kira pada pukul 8.30 pagi. Ketua program memberikan sedikit peringatan dan taklimat di atas bas serta memberikan setiap peserta sepasang sarung tangan dan penutup muka sebagai langkah keselamatan di samping menjaga kebersihan dan kesihatan. Setibanya di sana, kami berkumpul dan dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil. Sebelum bergerak ke tempat kerja masing- masing, kami sekali lagi diberi taklimat dan peringatan oleh wakil daripada pihak Zoo Negara tentang langkah keselamatan dan perkara-perkara yang harus dielakkan sepanjang mengadakan aktiviti ini.

Setelah itu, kami dibahagikan tugas secara rawak dan terus bergerak ke tempat kerja masing-masing bersama wakil daripada zoo. Antara kawasan yang diberikan kepada kami adalah kawasan karnivor, kawasan reptilia dan sebagainya. Terdapat juga satu kumpulan yang ditugaskan untuk hanya memberi makanan kepada haiwan-haiwan di seluruh zoo. Secara asasnya, kami perlu membersihkan sisa buangan haiwan di kandang-kandang mereka dan seterusnya memberi makanan. Seterusnya, arahan yang diberikan oleh wakil daripada zoo dan kerja yang diberikan untuk setiap kumpulan adalah berbeza. Sebagai contoh, ada yang perlu membersihkan kawasan di sekitar zoo, ada yang diberi peluang untuk memberi makanan kepada haiwan lain, malah ada yang ditugaskan untuk membantu ahli zoo membina sangkar baharu seperti untuk kura-kura yang ingin dipindahkan daripada tempat asalnya.

Setelah tamat sesi pagi, kami berehat selama 1 jam dan sambung semula kira-kira pada pukul 2 petang. Namun aktiviti tergendala seketika akibat hujan yang turun. Tidak lama kemudian, kami meneruskan kerja masing-masing dan aktiviti kami akhirnya tamat kira-kira pada pukul 4.30 petang. Setelah itu, kami berkumpul semula dan diberi sedikit ucapan penghargaan daripada wakil zoo. Mereka sememangnya menghargai sesiapa yang sudi untuk meluangkan masa dan menyertai program ini terutamanya daripada golongan pelajar. Walaupun kerja yang mampu kami lakukan adalah terhad, namun mereka masih menghargainya kerana kehadiran kami sedikit sebanyak meringankan beban yang terletak di bahu mereka.

Sebelum bertolak pulang, kami solat asar terlebih dahulu dan diberi peluang untuk membeli sedikit cenderahati daripada zoo tersebut. Kami bertolak pulang kira-kira pukul 5.30 petang dan tiba di KMNS pada pukul 7.55 petang. Sememangnya aktiviti ini telah memberi suatu dimensi baru dalam pengalaman hidup saya. Peluang untuk melihat serta menyentuh haiwan dalam jarak dekat adalah suatu pengalaman yang sukar untuk dilupakan. Selain pengalaman bersama haiwan, peluang untuk berkerja serta berkongsi pengalaman dan cerita bersama pekerja-pekerja di Zoo Negara juga merupakan memori yang tidak harus dilupakan. Setelah beberapa bulan saya menelaah ilmu, mempunyai peluang untuk keluar dan berbakti kepada masyarakat sememangnya suatu yang amat saya perlukan. Saya  berharap agar program-program kesukarelawan seperti ini dapat dijalankan secara lebih kerap lagi pada masa hadapan agar mata saya lebih terbuka dan seterusnya mampu menyumbang sesuatu kepada masyarakat.



No comments:

Post a Comment

Buletin : PENUNTUT UKM

  PENUNTUT Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi selepas program perwakafan buku untuk perpustakaan mini Masjid UKM – ber...